Tuesday, September 30, 2008

KETURUNAN TUAN MASAIK YANG TERCATAT DALAM SEJARAH DAN CATATAN ORANG BARAT

Terdapat ramai tokoh-tokoh yang menjadi tokoh penting dalam sejarah Sulu, Mindanao, Borneo dan Kepulauan Nusantara hasil pancar keturunan Tuan Masaik . Berdasarkan catatan sejarah anak-anak dan keturunan Tuan Masaik merupakan Raja-raja Kepulauan Sulu, Mindanao, Palawan, Manila, Maktan, Tondo, Tawi-Tawi, Sibutu, Ternete dan lain-lain Kepulauan di Filipina, Indonesia dan Malaysia sebelum kedatangan Syariful Hashim ( Sultan Pertama Sulu )yang menjadi menantu Raja Baguinda yang akhirnya mendirikan Kesultanan Sulu dan sebelum kedatangan Syariff Kebungsuan ( Sultan pertama Mindanao )yang mengasaskan Kesultanan Mindanao. Keturunan Tuan Masaik mendominasi Pertuanan Raja-Raja di Kepulauan Sulu, Mindanao dan Borneo sebelum Kebangkitan Kesultanan Brunei di bawah Syariff Ali ( Sultan ketiga Brunei ). Lebih jelas lagi Pertuanan keturunan Tuan Masaik menjadi tenggelam dengan munculnya keturunan Syariff yang berpancar dari keturunan Ahlul Bait dan Nabi Muhammad S.a.w. Keturunan Ahlul Bait ini telah menrubah keseluruhan struktur Raja-raja di kawasan ini menjadi struktur kerajaan bercorak Kesultanan yang lebih islamik dan sistematik. Justeru itu, keturunan ahlul bait ini lebih diikhtiraf sebagai Pengasas Kesultanan Islam di kawasan ini, sedangkan Pengasas Dan Pendiri Sebenar Pertuanan Raja-Raja Islam di Kepulauan Sulu adalah Tuan Masaik dan keturunannya. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapatnya perkahwinan keturunan Tuan Masaik dan keturunan Ahlul Bait sama ada di kalangan Kesultanan Sulu, Kesultanan Mindanao mahupun Kesultanan Brunei, Kesultanan Kutai, Kesultanan Banjar dan Kesultanan Sulawesi.

Berdasarkan Rekod dalam Catatan Dinasti Ming, China tahun 1417 disebutkan bahawa 3 orang Raja dari Sulu telah datang melawat ke Tekchow, Shandong, China. Raja-raja tersebut ialah

1.Keturunan Tuan Masaik yang digelar Pa-Tu-Ko-Ha-La (Patugohada) atau Paduka Batara, Raja Negeri Timur ( Sulu )
2.Permaisuri Gua bernama Ba-To-Ko-Pa-La-Pok atau Paduka Prabu, Permaisuri Negeri Ka-La-Ba-Ting ( Kinabatangan Borneo )
3.KeturunanTuan Masaik yang digelar Ma-Ha-La-Chiq-Ko-La-Ma-Ting atau Maharajah Kolamanting, Raja Negeri Barat ( Tawi-Tawi).

Ketiga-tiga Raja ini dicatatkan dalam Catatan Dinasti Ming sebagai telah melawat Bandar Tekchow di Shandong China pada tahun 1417 Masehi atas undangan Maharaja Yung Lo iaitu Maharaja Cina pada masa itu. Ketiga-tiga mereka telah datang bersama-sama ke China untuk bertemu Maharaja Yung Lo dengan diringi oleh 340 orang Datu-datu dan Panglima Sulu. Raja Paduka Batara ( Raja Negeri Timur ) telah jatuh sakit dan mangkat di Tekchow, China. Maharaja China telah mengarahkan menterinya untuk memberikan penghormatan dan membuat Pemakaman Diraja untuk Raja Paduka Batara. Waris Raja Paduka Batara telah tinggal selama tiga tahun di China untuk menguruskan makam Raja Sulu dan sementara menunggu Putera Sulung bernama Tu-Ba-Hap ( Tumahan ) atau Tuan Hap dewasa. Tuan Hap atau Tumahan akhirnya kembali ke Sulu tiga tahun kemudian sementara dua orang lagi adik-beradiknya yang dinamakan An-Tu-Luk ( Antulu) atau Tuan Tulu dan Wun-Ha-La ( Wenhala ) atau Tuan Hala terus tinggal di Tekchow, Shandung dan keturunan mereka generasi ke-16 hingga ke-18 masih terdapat di Tekchow, Shandong china dan diberikan gelaran khas iaitu AN dan WUN ( WEN ) oleh Maharaja China sebagai penghormatan dan mengingati sejarah kedatangan keturunan mereka ke China. Kata AN dan WUN dalam bahasa Mandarin seerti dengan kata TUAN dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, Paduka Batara, Maharaja Kolamanting ( Gemding ) dan Paduka Prabu tidak disebutkan dalam Tarsila Kesultanan Sulu. Ini disebabkan Tarsila Kesultanan Sulu hanyalah menggalurkan keturunan Raja-raja Sulu bermula dari Sultan Syariful Hashim ( 1430-1480 M ) sedangkan Raja-raja Islam dalam kerajaan Sulu telahpun bermula lebih seratus tahun atau satu abad lebih awal dari kedatangan Sultan Syariful Hashim.

Dalam Catatan Pigafetta yang menyertai Misi Ferdinand Magellan mengelilingi dunia, beliau mencatatkan bahawa pada tahun 1521 Ferdinand magellan telah singgah di Pulau Paragua ( Palawan ) dan mereka telah menemui Wizurai Sultan Brunei di situ yang merupakan ADIPATI SULU yang bernama TUAN MAHAMUD dan anaknya TUAN AHMAD serta seorang lagi keluarganya bernama GUANTIL. Adalah dipercayai mereka ini adalah keturunan TUAN MASAIK yang menjadi Raja di Pulau Palawan ketika itu.

Dicatatkan juga dalam catatan Sepanyol, sewaktu mereka menyerang dan menawan May nilad ( Manila ) dalam tahun 1571 tentera sepanyol telah mengalahkan tiga orang Raja di situ iaitu Raja Sulaiman Mahmud yang dicatatkan sebagai anak Adipadi Sulu atau Wizurai Brunei ( ditawan oleh Sepanyol ), Raja Lakandula di Tondo, Manila dan bapa saudara Raja Sulaiman iaitu Raja Matanda. Sebenarnya, Raja Sulaiman adalah anak Tuan Mahmud iaitu Raja Pulau Palawan dan juga merupakan Wizurai Sultan Brunei di Palawan. Justeru itu, Raja Matanda, Raja Sulaiman dan Raja Lakandula merupakan raja-raja dari keturunan TUAN MASAIK.

Di antara tahun 1840 an hingga 1898 dicatatkan dalam Buku " The Sulu Zone ", Wilayah Kesultanan Sulu di Borneo telah dibahagikan kepada tiga Wilayah iaitu Wilayah Maludu ( Marudu ) di bawah pentadbiran Shariff Osman, Wilayah Mangindora dan Wilayah Tirun. Di dalam Wilayah Magindora ( yang meliputi kawasan Kinabatangan, Sandakan hingga ke Tungku Lahad Datu ) terdapat sebuah kawasan Petempatan Sulu di Teluk berdekatan dengan Sungai Sandakan. Ketuanya dikenali sebagai TUAN ABANDOL yang mengetuai orang-orang islam ( Suluk, Bajau ) dan orang-orang Idaan di situ. Tuan Abandol adalah salah seorang keturunan TUAN MASAIK yang menjadi pemerintah di Negeri Sabah. Keturunan Tuan Abandol masih terdapat di kawasan Sandakan dan salah seorang daripadanya ialah Panglima Adam salah seorang Ketua Suku ( Native Chief ) di era penjajahan British yang telah membuka Kampung Bokara di Sandakan.

Keturunan Tuan Masaik juga masih dapat dikesan di Daerah Lahad Datu, Kunak, di Daerah Kudat, Pitas dan Kota Marudu yang sejak dahulu sehingga ke hari ini keturunannya memegang jawatan Ketua-Ketua Suku, Imam dan Ketua Kampung atau Panglima. Di Negeri Sabah juga ada keturunan TUAN MASAIK yang menjadi Ketua Menteri Sabah, Menteri, Wakil Rakyat, Pegawai Daerah dan ada yang menjawat jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran Negeri Sabah sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, keturunan TUAN MASAIK di Negeri Sabah tidak lagi mengekalkan gelaran nama "TUAN" di awal nama mereka disebabkan oleh asimilasi budaya, pengaruh setempat, keadaan sosio-ekonomi, perubahan pentadbiran dan juga akibat penggunaan lain-lain gelaran nama yang akhirnya membawa kepada terhapusnya tanda nama "TUAN" pada keturunan TUAN MASAIK.

1 comment:

Azafarizal said...

Mntk tolong pecerahan ya Tuan..ayah sy berasal Dr kudat Sabah..ayah sy bercerai dgn mak sy sjak sy kecil LG..ayah Kami berpesan patang larang Kami xboleh makan rebung buluh betong..SBB moyang Kami Dr asal Dr buluh...adakah Kami anak cucu Tuan masaik..sy tggl dgn mak sy Di Labuan..agak kurang pendefahan dgn cerita ni..terimakasih infonya ini..