Thursday, August 27, 2009

ASAL-USUL TUAN MASAIK BERDASARKAN CERITA LISAN DI NEGERI SABAH

Berdasarkan Tarsila Sulu yang menjadi rujukan ahli-ahli sejarah di Filipina dan Malaysia, Tuan Masaik dikatakan bukanlah penduduk asal Pulau Sulu. Ahli-ahli Sejarah seperti Dr Cesar Adib Majul mengatakan bahawa Tuan Masaik kemungkinan berasal dari Malaysia atau Indonesia. Walau bagaimanapun, ketokohan dan kewibawaan Tuan Masaik membuatkannya di sanjung dan dimuliakan di Kepulauan Sulu sehingga beliau dianggap sebagai Nabi atau Wakil Tuhan oleh penduduk tempatan. Ketaksuban penduduk Sulu dalam memuliakan Tuan Masaik tentunya disebabkan oleh banyaknya kelebihan, tingginya ilmu ketuhanan, keberkatan dan kemujaraban doanya serta berlakunya banyak keajaiban dan karamah sewaktu hidupnya.

Berdasarkan kepercayaan Islam, tidak ada lagi Rasul atau Nabi yang akan diturunkan oleh Tuhan selepas Nabi Muhammad S.a.w. Oleh sebab itu, tinggi manapun kelebihan, karamah dan ilmunya Tuan Masaik beliau hanyalah layak digelar "WALI ALLAH" dan RAJA. Walau bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan saya, Tuan Masaik tidak pernah mendakwa dirinya Nabi atau Tuhan semasa hidupnya walaupun banyak keajaiban berlaku pada dirinya.

Di dalam Tarsila Kesultanan Sulu, cerita mengenaai Tuan Masaik terlalu sedikit. Tarsila Sulu hanya menyebutkan bahawa Tuan Masaik berasal dari bambu, berkahwin dengan anak Raja Sipad, dimuliakan dan dianggap nabi oleh penduduk Sulu dan menyebutkan hanya dua nama anak Tuan Masaik iaitu Tuan Hakim dan Aisya dan nama anaknya yang ketiga tidak disebutkan hanyalah dinyatakan sebagai seorang lelaki. Nama Tuan Pain tidak disebutkan dalam Tarsila Sulu tetapi disebutkan dalam dokumen catatan orang-orang Sepanyol. Adalah mustahil seorang Raja yang dianggap sebagai Terlalu Mulia tidak dicatatkan secara terperinci dalam mana-mana dokumen kerajaan Sulu. Sebenarnya, Penjajahan Sepanyol di Kepulauan Sulu dan pulau-pulau disekitarnya yang akhirnya mendirikan negara Filipina telah banyak merosakkan dan memusnahkan khazanah keraajaan Sulu termasuklah kitab-kitab, buku, monumen dan lain-lain bahan sejarah. Dalam sejarah Filipina disebutkan bahawa Sepanyol pernah mengambil tindakan memusnahkan makam-makam, monumen dan bahan sejarah di BUD DATU dan merampas banyak dokumen penting kerajaan Sulu sehinggakan Kesultanan Sulu ketiadaan bahan rujukan dan maklumat silam.

Berdasarkan cerita lisan keturunan Tuan Masaik yang ada di Kampung Parapat Laut, Kudat dan di beberapa kampung di sekitar Teluk Marudu, Tuan Masaik dikatakan berasal dari daerah Lahad Datu, Sabah. Kononnya pada zaman dahulu kala moyang Tuan Masaik telah menanam sepohon bambu betung atau disebut dalam bahasa Bajau/Suluk sebagai "KAYAWAN". Dikatakan bambu jenis ini adalah sejenis bambu yang berduri diruasnya dan sangat jarang didapati pada masa ini. Setelah beberapa lama ditanam, bapa Tuan Masaik yang merupakan seorang yang ditakdirkan tidak dikurniakan zuriat telah mendapat alamat dalam mimpi meminta beliau menebang bambu tersebut dan mengambil sesuatu benda di dalamnya. Sebenarnya rumpun bambu yang hidup subur itu seringkali mengeluarkan cahaya pada masa setiap bulan mengembang penuh. Cahaya tersebut sangat terang-benderang sehingga boleh menerangi kawasan sekitarnya.

Walau bagaimanapun beliau tidak mengendahkan mimpi tersebut sehinggalah ia berulang untuk kali yang ketiga. Pada malam ketiga, setelah terbangun dari mimpi orang tersebut telah mendengar tangisan bayi dari dalam rumpun bambu tersebut. Dia telah mengejutkan isterinya yang juga mengalami mimpi yang sama. Pada malam tersebut, mereka telah datang ke rumpun bambu tersebut dan cuba mencari di mana datangnya tangisan bayi tersebut.
Bapa Tuan Masaik telah mengambil keputusan untuk menebang rumpun bambu tersebut dan cuba mencari bayi yang dimaksudkan oleh mimpinya. Sewaktu beliau menebang salah satu pokok bambu dalam rumpunan tersebut, terdapat satu pohon yang tidak mampu dimakan senjata atau jelasnya kapak beliau tidak mampu melukai bambu tersebut. Beliau mencuba berkali-kali tetapi bambu tersebut sedikitpun tidak berubah sebaliknya mata kapaknya menjadi tumpul dan sumbing. Bapa Tuan Masaik mengambil semua senjata dan peralatan yang ada di rumahnya termasuklah parang, kapak, pedang, beliung, barung dan sebagainya tetapi satupun tidak mampu melukai bambu tersebut. Setelah beberapa hari mencuba menebang bambu tersebut, Bapa Tuan Masik telah mengambil keputusan menggali rumpun pokok bambu tersebut sehinggalah ianya tercabut dan dapat dikelurkan dari dalam tanah. Sebaik-baiknya sahaja telah berjaya digali, batang bambu tersebut akhirnya berjaya dipecahkan dan setelah diamati terdapat seketul batu dalam batang bambu tersebut.

Orang tersebut telah membawa batu hikmat yang saiznya kecil sedikit dari gengaman tangan orang dewasa. Anehnya, batu tersebut mempunyai mata, hidung, mulut, kepala dan badan yang sempurna seperti patung seorang manusia yang sedang solat. Bapa Tuan Masaik dan isterinya telah membawa batu tersebut pulang ke rumah dan memandikannya. Patung tersebut telah diselimutkan dengan kain kuning dan diletakkan di dulang tembaga. Sebuah bilik khas telah digunakan untuk menempatkan batu tersebut. Dengan Takdir Allah, patung batu tersebut telah bertukar menjadi seorang bayi lelaki dan ini sangat menggembirakan pasangan suami isteri yang selama ini mengimpikan kehadiran seorang anak. Kanak-kanak tersebut dinamakan MA'BO LU yang bererti "di dalam bambu". Ia telah dipelihara sehinggalah menjadi seorang pemuda yang gagah perkasa. Ajaibnya kanak-kanak tersebut mempunyai banyak kelebihan seperti dapat membaca dan menuturkan Kitab Suci Al Quran tanpa perlu belajar, mampu menguasai ilmu-ilmu ketuhanan dan mampu menghuraikan dan menyelesaikan masalah-masalah keagamaan serta masalah penduduk setempat. Ramai penduduk di negeri tersebut telah menganut agama islam hasil dakwah Tuan Masaik.

Setelah dewasa, Tuan Masaik telah belayar ke Kepulauan Sulu untuk tujuan mengahwini Puteri Raja Sipad , Raja Sulu ketika itu. Sewaktu dalam pelayaran ke Sulu dari Lahad Datu, kapalTuan Masaik telah dilanda ribut taufan dan angin puting beliung yang kuat. Kapal yang dinaikinya telah karam. Walau bagaimanapun, dengan takdir Allah S.W.T seekor ikan yu pasir yang besar telah timbul mengangkat Tuan Masaik di atasnya. Ikan yu tersebut dikenali sebagai "PINDUNG" dalam bahasa Bajau/Suluk atau di kenali orang-orang Sabah sebagai ikan YU KEMANGSIAN. Dalam masa yang sama seekor burung itik laut yang dikenali sebagai "KULLU-KULU" telah membantu Tuan Masaik dan ikan Pindung dengan cara menjadi Pemandu Arah. Burung tersebut telah terbang di bahagian atas dan hadapan ikan Pindung. Ikan Pindung pula berenang membawa Tuan Masaik mengikut arah terbangnya burung tersebut sehinggalah Tuan Masaik selamat sampai di pulau Sulu.

Disebabkan jasa dan pertolongan ikan Pindung dan burung Kullu-Kullu, Tuan Masaik telah menyumpah bahawa anak cucu dan keturunannya tidak boleh memakan ikan Yu Pindung dan burung Kulu-Kullu serta tidak boleh membunuh kedua-dua haiwan tersebut. Sesiapa yang memakan ikan Yu Pindung dan burung Kulu-Kullu akan tumbuh kudis dikulitnya. Sumpahan ini menjadi pantang keturunan Tuan Masaik.

Anehnya, sumpahan ini masih berlaku sehingga ke hari ini dan ianya menjadi SIMBOL dan IKON bahawa seseorang itu adalah keturunan Tuan Masaik. Sumpahan ini seakan DNA ajaib yang ada dalam darah dan tubuh cucu-cicit dan keturunan Tuan Masaik. Pantangan ini akhirnya menjadi salah satu cara untuk mengenali dan memastikan bahawa seseorang itu adalah keturunan Tuan Masaik. Sebenarnya, ada beberapa lagi keriteria dan ciri-ciri tulen yang menjadi simbol dan cara untuk memastikan bahawa seseorang itu adalah tulen berasal dari keturunan Tuan Masaik. Ianya termasuklah ciri-ciri dalam bentuk tubuh, darah, penampilan dan perawakan, percakapan. Ciri-ciri ini hanya difahami dan mampu dikenalpasti oleh orang-orang yang menerima petunjuk dan memilik "ILMU PAG DATU" .

Memandangkan asal-usul Tuan Masaik ini adalah dari Sabah, tidak hairanlah jika Raja Bongsu Brunei atau dikenali juga sebagai Sultan Muwallil Wasit Sulu yang telah menghabiskan masa lebih 40 tahun menentang penjajahan sepanyol di Sulu dengan hebatnya, sewaktu kekalahan Sulu kepada Sepanyol dalam tahun 1660an telah meminta beberapa syarat dalam Perjanjian dengan Penjajah Sepanyol dan salah satu daripada syarat tersebut ialah "Baginda dibenarkan tinggal di daerah kelahirannya di Bagahak Pulau Borneo". Kawasan Bagahak pada masa ini terletak dalam kawasan Lahad Datu, Sabah. Sebenarnya, ianya adalah simbolik bahawa asal-usul keturunannya adalah dari Lahad Datu Sabah. Mungkinkah baginda dimakamkan di situ ? ......dan mengapakah Lahad Datu dikenali sebagai "LAHAT DATU" ?.

Adalah tanggung jawab cucu-cicit dan keturunan Tuan Masaik untuk mengkaji dan menelusuri salasilah dan keturunan mereka tidak kiralah mereka bergelar Sultan, Datu, Tumanggung, Maharajah, Panglima, Paduka, Pangeran, Tuan, Shariff ataupun orang biasa tanpa mengira apakah mereka bangsa Suluk, Bajau, Brunei, Tidung, Tagalok pokoknya mereka mengongsi nenek moyang yang sama dan jangan lupa.... mengongsi SUMPAHAN YANG SAMA..

Sekian. Wallahu a'lam.